HARGA petrol dan diesel diramalkan akan turun sekurang-kurangnya 10 sen seliter di bawah sistem penetapan secara mingguan mulai esok.

Pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan berkata, setelah harga minyak mentah di pasaran dunia menurun daripada AS$55 kepada AS$50 setong sementara nilai tukaran asing ringgit dengan dolar kembali stabil, ini membolehkan harga minyak petrol pada April ini dijangka mengalami penurunan.

Beliau yang juga Ketua Khidmat Rundingan Cukai dan Kewangan Great Vision Advisory Group memberitahu China Press, harga runcit petrol dan diesel mempunyai kaitan rapat dengan harga minyak mentah dunia dan nilai tukaran asing.

“Dengan pelaksanaan sistem penetapan harga secara mingguan ini, sebarang perubahan harga adalah mengikut harga minyak mentah dunia.

“Ini bermakna pengguna di negara kita perlu sentiasa bersiap sedia hadapi berlaku sebarang perubahan harga minyak mentah dunia kerana ia mempunyai kaitan terus dengan harga runcit yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika mengumumkan perubahan ini menjelaskan, penetapan harga runcit bagi petrol dan diesel secara mingguan dijangka lebih stabil berbanding harga siling bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Menurutnya, KPDNKK sudah berbincang dengan beberapa pihak berkepentingan, pengusaha minyak dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk melaksanakan inisiatif baharu ini.

Dengan pelaksanaan penetapan ini, harga runcit mingguan bagi petrol dan diesel akan diumumkan pada setiap hari Rabu dan berkuat kuasa pada keesokan harinya.

Ini bermakna harga runcit minggu pertama di bawah sistem baharu ini akan diumumkan pada hari ini, iaitu 29 Mac dan berkuat kuasa pada 30 Mac.

-SinarHarian