IPOH: Buat pertama kalinya dalam sejarah, golongan deejay dan pengurusan sistem audio di Perak bersatu hati dan menyuarakan pendapat mengenai harga minima RM500 bagi satu sesi perkhidmatan majlis.

Bagi Zairul Sham Abdul Muin, 39, yang telah berkecimpung dalam bidang ini lebih daripada 15 tahun berkata, dia menerima banyak aduan mengenai sifat sesetengah masyarakat yang memandang sebelah kerjaya mereka itu.

Katanya, masih ramai yang mengganggap pekerjaan sebagai seorang deejay atau pengurusan PA system sebagai kerjaya kelas kedua dan sering meminta bayaran yang tidak berpatutan.

“Satu sesi pengendalian majlis, lengkap dengan sistem audio dan pembesar suara serta peralatan teknikal khas bukannya murah, ia memakan kos belasan ribu ringgit tetapi pihak klien adakalanya meminta sehingga RM100 sahaja.

“Bila kami terangkan bahawa ianya tidak memadai, dengan perkhidmatan kami selama lima jam, itu tidak termasuk tempoh datang awal ke majlis dan menyediakan segalanya, ada pula tidak puas hati terhadap kami.

WhatsApp Image 2017-04-25 at 23.59.24

“Jujur, kami rasa ditindas dan kami rasa kami diletakkan di takuk lama, bukan nak kata apa, kamilah penceria majlis, sewa jurufoto sampai beribu-ribu, artis mekap pun sama, kenapa kami diperlakukan sebegini pula,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media sempena Sesi Ramah Mesra Bersama Wartawan Akhbar, Deejay dan Pengusaha PA System Negeri Perak di perkarangan Mak Nani Ikan Bakar di Meru, baru-baru ini.

Justeru, sekitar 100 deejay di seluruh negeri telah sebulat suara untuk menubuhkan sebuah persatuan rasmi yang akan didaftarkan bagi memudahkan urusan mendapatkan perkhidmatan deejay dan sistem audio.

Persatuan yang dikenali buat masa ini sebagai Group Deejay Perak (GDP) itu juga memainkan peranan untuk memastikan kualiti perkhidmatan terbaik selain menetapkan harga syiling bagi para penggiat industri tersebut.

Sementara itu, Shahril Azmi Sahli, 31 atau lebih mesra dikenali sebagai DJ Suara Kacak di sekitar Manjoi menyifatkan penubuhan persatuan tersebut adalah kena pada waktunya apatah lagi dengan permintaan deejay yang meningkat pada hari ini.

Ujarnya, setiap ahli bakal mendapat kad keahlian untuk memantau perkembangan mereka manakala kebaikan tetapan harga siling itu adalah untuk mengelakkan kejadian “sailang-menyailang” atau berkrompomi harga sehingga mereka sukar untuk mendapatkan klien berikutan tawaran harga rendah daripada deejay tertentu.

“Saya mewakili kawan-kawan saya ingin menyuarakan suara hati kami, bahawa kami tidak ingin lagi dipandang rendah, ada yang menyangka ini kerja sambilan kami sedangkan ramai tidak tahu bahawa ini sebenarnya punca rezeki, dan periuk nasi anak bini kami.

“Ada juga yang berkata, sekadar deejay ini mungkin berpendidikan rendah, tapi sebenarnya jika anda dekati kami, ada yang bekerja sebagai pengurus, pegawai bank, kakitangan berpangkat tinggi yang memilih ini sebagai hobi kami, jadi jangan jadikan kami masyarakat berkelas kedua,” katanya lagi.

Shahril berkata, dengan penubuhan persatuan itu diharap menjadi platform buat rakan-rakan deejay yang lain untuk menjaga kebajikan masing-masing selain memudahkan urusan butik-butik pengantin serta mereka yang memerlukan perkhidmatan mereka.

Tambahnya, mereka yang tidak mendaftarkan diri di dalam persatuan tersebut berhak untuk membuat tuntutan harga mengikut kesesuaian diri namun harga RM500 satu sesi itu adalah yang terbaik khususnya di Wilayah Utara.

Turut hadir, Naib Ketua Bahagian UMNO Tambun, Datuk Azizul Kama Abd Aziz yang menyatakan hasrat beliau untuk menghubungkan golongan deejay dan pengusaha PA system tersebut dengan aktiviti kerajaan negeri.

“Saya rasa, apa yang mereka lakukan ini wajar diberi perhatian kerana kebanyakan mereka merupakan anak tempatan, Bumiputra yang memperjuangkan industri ini, jadi saya rasa layak sekiranya mereka meletakkan harga itu mengikut keadaan ekonomi semasa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut.