TAIPING: Umat Islam di negara ini harus mensyukuri keamanan yang dinikmati sehingga membolehkan mereka menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, di negara luar
berlaku pelbagai peristiwa yang menggugat keamanan seperti di
Kabul, Marawi, Manchester dan Jakarta yang menyaksikan kehilangan banyak nyawa.

Sebaliknya, kata beliau, umat Islam di Malaysia dapat beribadah dengan aman mengikut kehendak mereka sendiri.

“Di Malaysia, kita bersyukur kerana boleh tunaikan ibadah sepenuhnya. Kita dapat beribadah sebanyak-banyaknya. Kita harus mensyukuri nikmat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Zakat Yayasan Al-Fasal kepada Asnaf
Parlimen Bukit Gantang di Masjid Al-Islah Pengkalan Aur di sini pada Rabu.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dalam majlis tersebut, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada
1,000 Asnaf dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering.

Perdana Menteri kemudiannya berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih serta majlis moreh bersama jemaah.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk menaik
taraf Masjid Al-Islah.