TAIPING: Menteri Besar Perak menzahirkan penghargaan kepada anggota tentera di atas pengorbanan yang dilakukan oleh mereka dalam menjaga keselamatan rakyat Malaysia dan kedaulatan tanah air.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, disebabkan kesetiaan dan pengorbanan pasukan keselamatan itu rakyat negara ini dapat hidup aman sejahtera dan menyambut Syawal tidak lama lagi dalam keadaan gembira.

“Saya berada di sini untuk menzahirkan penghargaan saya kepada anda semua yang selama ini menjadi tunjang keamanan negara.

“Wira, wirawati yang kadang-kadang didendang dan tidak didendangkan pengorbanannya, terima kasih kerana kerja siang dan malam berada di semua tempat termasuk hutan belantara demi menjaga tanah air,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Perak Bersama Warga 2 Briged Infantri di Kem Town Barrack, Batalion Ke-9 Rejimen Renjer DiRaja di sini pada malam Isnin.

Turut hadir pada program itu ialah Panglima 2 Briged Brig. Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar.

Lebih 500 Warga 2 Briged Infantri telah hadir pada majlis berbuka puasa berkenaan yang kemudiannya diikuti dengan solat terawih berjemaah.

Mohd Nizam dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif-inisiatif yang telah dihulurkan oleh Dr Zambry kepada anggota-anggota tentera.

“Dr Zambry pada hemat saya merupakan seorang insan yang dinamik, proaktif dalam tugasnya, beliau merupakan seorang role model kepada kita semua.

“Ianya dapat dilihat dengan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang telah dibangunkan di kem-kem seluruh Perak. Ianya amat memberi kesan kepada anggota di sini,” kata beliau dalam ucapannya.