LUMUT: Pengorbanan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga keselamatan perairan negara seharusnya dihargai dan disyukuri.

c451aac7-f18c-4df1-9c8b-50ac02a1e7c2Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jika bukan kerana pengorbanan wira dan wirawati negara mengerah keringat tanpa mengira waktu tidak mungkin negara dapat menyambut Ramadan dengan penuh aman dan sejahtera.

Katanya, rakyat di Malaysia diberkati oleh Allah S.W.T. dan berada dalam satu keadaan yang cukup baik disebabkan oleh kesungguhan warga TLDM menjaga perairan negara sebaik-baiknya.

“Tuan-tuan dan puan-puan (pegawai, anggota TLDM) melaksanakan pengorbanan yang cukup mulia supaya ianya tidak dicerobohi tanpa mengira waktu, walaupun berpuasa tetap setia menjalankan tugas.

“Bayangkan keadaan saudara kita di negara-negara yang lain yang terpaksa mengharungi Ramadan dalam keadaan kucar kacir. Alhamdullilah, kita di sini dapat berpuasa dengan aman. Terima kasih kepada anda semua,” katanya.

fff9d70f-d488-44d6-b5d6-4b761043b6ab

Beliau berucap demikian pada Majlis Berbuka Puasa di Pengkalan TLDM di sini pada Ahad.

Lebih 3,000 warga TLDM terdiri daripada pegawai atasan, anggota dan ahli keluarga mereka hadir memeriahkan majlis berbuka puasa berkenaan.

Dr Zambry berkata, program itu merupakan langkah kerajaan negeri menghargai pengorbanan dan jasa anggota keselamatan yang berjauhan daripada keluarga pada bulan Ramadan dan Syawal.

Sementara itu, Menteri Besar turut menggesa warga TLDM yang beragama Islam untuk meningkatkan amal ibadat mereka di 10 hari terakhir Ramadan untuk mengejar pahala berlipat ganda.

d903d5ca-f850-4c51-b956-1180d22f29a6“Di 10 hari terakhir Ramadan ini, saya mahu kita semua berikan tumpuan untuk menambahkan amalan kita, jaga tingkah laku kita kerana waktu ini amat-amat istimewa.

“Mari kita bersama-sama mengejar keberkatan daripada Allah S.W.T pada Ramadan kali ini supaya semua kita diberi ganjaran pahala dan syurga, Insyaallah,” ujarnya.

Dalam majlis yang diadakan di Dewan Shariff itu, Menteri Besar menunaikan solat terawih bersama-sama warga TLDM dengan diimamkan oleh Imam Masjid Muhriji, Makkah, Sheikh Usama Mohamad Iqbal sebelum menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

2b321d15-53ff-4752-9020-f8761f07b6e1