MANJUNG: Setelah berhempas pulas mengendalikan pelbagai kerenah peminjam selama tujuh hari seminggu, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) cawangan Perak mengambil keputusan untuk merehatkan diri dalam program serba ringkas mereka di Pangkor baru-baru ini.

Pengurus Besar PTPTN Perak, Ahmad Shahril Ghazali berkata, bukan mudah bagi 40 kakitangan PTPTN dari lima cawangan seluruh negeri itu untuk mengendalikan ribuan peminjam tabung berkenaan setiap hari.

Justeru, hari keluarga atau Family Day PPN Perak itu adalah satu langkah untuk menghilangkan tekanan serta menenangkan minda dan mental kakitangan cawangan Manjung, Teluk Intan, Taiping, Greentown dan UTC Ipoh.

“Bukannya kami mengeluh, jauh sekali untuk melupakan tanggungjawab, tetapi adakalanya tekanan kerja mungkin terbawa-bawa ke rumah, jadi inilah caranya untuk menghargai jasa dan tenaga yang diberikan oleh kesemua kakitangan.

“Bayangkan, setiap minggu kami memberikan khidmat nasihat, tawaran diskaun, menerangkan cara untuk mengurangkan beban pembayaran balik, malah mengajar mereka untuk melangsaikan hutang di dalam kemampuan mereka, bukan lima hari tapi tujuh hari seminggu!,” katanya  kepada Suara Perak.

Menurutnya, kakitangan PTPTN memerlukan tahap kesabaran serta toleransi yang amat tinggi terutama apabila berdepan dengan peminjam yang adakalanya degil dan tidak memberikan kerjasama, namun mereka percaya ia adalah lumrah sebagai tabung pembiayaan terbesar negara.

Ahmad Shahril berkata, program sehari di Marina Island Pangkor Resort and Hotels, Lumut itu membuahkan hasil yang positif berikutan kerjasama erat antara kesemua kakitangan PTPTN Perak.

Jelasnya, ikatan silaturrahim itu adalah berkat kesabaran dan kegigihan yang sememangnya tersemai dalam diri kakitangan untuk saling membantu para peminjam PTPTN sekaligus menjadikan komunikasi di antara cawangan begitu jernih dan lancar.

“Antara acara yang diadakan ialah tarik tali campuran lelaki dan perempuan, lari dalam guni dan Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang khusus untuk mereka.

“Saya juga akan merindui mereka, sebenarnya berasa terharu kerana Family Day ini turut diadakan khas untuk saya sebagai Pengurus Besar negeri yang akan bersara, saya harap mereka akan meneruskan perjuangan dalam membantu meringankan beban kesemua peminjam dan bekerja dengan hati ikhlas,itu sahaja,” ujarnya lagi.