TAIPING: Taman Tasik Kamunting dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Landskap Negara peringkat kebangsaan 2017 yang akan berlangsung pada 31 Mac hingga 2 April ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, Hari Landskap Negara yang bertemakan ‘Gerak Rakan Taman Untuk Kesejahteraan Penduduk Bandar’ itu juga akan mengadakan pelbagai pameran, antaranya jualan pelbagai pokok dan alatan berkebun.

Selain itu, kata beliah, aktiviti lain termasuklah jualan makanan ‘food truck’, pertandingan melukis dan mewarna, MPT akan membaik pulih kawasan taman berkenaan bagi memastikan sambutan itu berjalan lancar.

“Malah, satu mesyuarat akan diadakan esok bersama Jabatan Landskap bagi menentukan bentuk-bentuk pameran yang akan diadakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan anggota majlis MPT di sini, hari ini.

taman tasik kamunting

Tambah beliau, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dijangka akan merasmikan sambutan berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata bersempena dengan Tahun Melawat Perak, diskaun sehingga 20 peratus akan diberikan kepada pengunjung Zoo Taiping & Night Safari bermula hari ini sehingga 31 Dis tahun ini.

Katanya, diskaun itu diberikan kepada anak kelahiran negeri Perak dan mereka yang bermastautin di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata MPT sedang melaksanakan projek menaik taraf persimpangan Jalan Samanea Saman yang membabitkan peruntukan sebanyak RM528,834 mulai 1 Dis tahun lepas dan dijangka siap pada 22 Mac tahun ini.

Katanya, projek itu dilaksanakan bagi mengatasi kesesakan laluan di persimpangan Jalan Pekeliling berhampiran pusat penjaja di Taman Tasik Taiping.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya telah mengarahkan pemaju projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian 2, di sini untuk menaik taraf sistem perparitan di Jalan Taman Pertama, Assam Kumbang bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Beliau berkata ini kerana pemaju tidak membina sistem perparitan seperti yang telah diluluskan dalam pelan iaitu seluas 1.5 meter sedangkan pemaju membina 0.9 meter sahaja parit berkenaan.

-BERNAMA