Hari Raya Aidilfitri (Bahasa Arab: عيد الفطر‎; ‘Ayd al-Fiṭr; “perayaan fitrah”) disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran.
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Arab, Inggeris, Melayu, India-Muslim, Cina-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun.

SOALAN: Boleh ustaz terangkan apakah sebenarnya makna Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam?

JAWAPAN: Perkataan Aidilfitri mempunyai nilai tertentu untuk umat Islam, Eidi itu bermaksud suatu yang berulang manakala Fitri ialah fitrah.

Jadi Aidilfitri, kalau seorang-seorang itu di dalam bulan Ramadan beribadat bersungguh-sungguh, sebab Nabi Muhammad SAW pun memberitahu, ibadat bulan Ramadan ni, siangnya, kita buat bersungguh-sungguh puasa, Allah ampun dosa, malamnya pula, buat sungguh-sungguh, Allah ampun dosa.

Pada malam pertama Ramadan dulu, Allah SWT berkata, akan dilepaskan manusia daripada belenggu api neraka setiap malam. Maknanya, kalau dalam 29 atau 30 hari kita buat ibadat sungguh-sungguh, satu Syawal nanti kita seperti dilahirkan semula oleh ibu, fitrah kita ni. Itu ibadat badan kemudian oleh kerana manusia ini sering terikat dengan material, jadi simbolik kita nak lepaskan semua yang kita ada ialah zakat fitrah.

Oleh itu, Aidilfitri sepatutnya suatu kegembiraan sebab kita telah kembali kepada fitrah. Itulah idealistiknya tetapi kenyataannya masing-masing punya habuan. Sebab itu semasa Hari Raya Aidilfitri, ia masih dalam kerangka ibadah, cara menyambutnya pun mesti tidak keluar daripada landasan ibadah.

Takbir Sebanyak Mungkin

SOALAN: Boleh ustaz terangkan apa yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam bermula malam Hari Raya Aidilfitri?

JAWAPAN: Apabila diumum sahaja oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di televisyen, di situ kita sudah mula bertakbir sebanyak mungkin. Lepas tu kita solat Isyak berjemaah dan boleh lakukan solat sunat Witir di rumah. Kemudian kita tidur dan bangun awal sebelum Subuh untuk solat Tahajjud diikuti solat Subuh berjemaah.

Di situ para ulama menggariskan antaranya adalah kita mandi sunat, selepas itu, kita carilah pakaian yang terbaik, tidak semestinya baru, untuk kita solat Hari Raya.

Berbeza dengan Aidiladha, Hari Raya Aidilfitri kita disunatkan makan dulu, walaupun sedikit, kemudiannya pergi sembahyang ikut jalan lain dan balik ikut jalan lain supaya kita dapat jumpa dan berinteraksi dengan lebih ramai orang. Kalau jumpa orang fakir miskin, kita boleh beri derma atau sedekah.

Jangan lupa, selepas sembahyang raya, ada khutbah, ada orang tidak sabar terus balik, tetapi tunggulah. Selepas itu boleh beramah mesra dengan jemaah dan rakan komuniti di samping saling maaf bermaafan.

Ziarah menziarahi sangat bagus dan di tempat kita sudah ada rumah terbuka, kalau dulu di kampung-kampung tiada dan kita boleh menziarahi bila-bila masa sahaja. Ketika menghadiri rumah terbuka pun, perlu ada adab-adabnya kerana selalu terjadi bersalaman dengan bukan mahram dan sebagainya, kita kena jaga adab ini.

Teruskan Tradisi Baraan

SOALAN: Sekarang ini banyak taman-taman perumahan mengikut tradisi mengunjungi rumah-rumah pada malam hari raya dan bertakbir atau baraan. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN: Ia sangat bangus kerana kita dapat pahala ziarah menziarahi dan dapat menghidupkan sunnah Nabi SAW iaitu bertakbir dan berdoa. Ia satu budaya di tempat kita, di negara Arab dan tidak bersalahan dengan syarak.

Cuma kita kena kawal sedikit kerana kadang-kadang sampai larut malam, Subuh pula kita tertinggal, tidak berjemaah. Di samping itu, tuan rumah pula jangan terbeban dengan adat ini kerana tidak semestinya menyediakan juadah yang boleh membebankan sebab mereka pergi banyak rumah.

Ziarah Kubur Di Pagi Raya

SOALAN: Antara aktiviti yang mungkin menjadi adat Melayu ialah menziarahi kubur pada pagi hari raya? Apa pandangan Islam mengenainya?

JAWAPAN: Asasnya, ziarah kubur tidak terikat dengan hari raya, sebaliknya boleh dilakukan bila-bila masa. Sebenarnya hari raya ialah hari bergembira, kita kembali kepada fitrah sehingga diharamkan berpuasa. Ketika itu, kegembiraan jangan diganggu dengan sesuatu yang boleh menyebabkan kesedihan kita.

Maknanya, ziarah kubur kalau boleh, jangan pada satu hari raya. Tetapi maklumlah, kadang-kadang itulah waktunya anak cucu balik. Sebenarnya kita tidak rancang hendaklah ziarah kubur seminggu sekali atau sebulan sekali, takkanlah jasa emak bapa kita, kita hanya kenang pada 1 Syawal baru hendak pergi, sepatutnya bukan begitu.

Tahun-tahun lepas ada fenomena yang tidak berapa bagus dalam menziarahi kubur ni, antaranya ialah ia sudah terikut dengan trend dan cara ziarah kubur orang bukan Islam.

Mereka bawa bunga sehingga di kubur pun ada orang menjual bunga. Sebenar ziarah kubur pun ada cara-caranya. Satu lagi, 1 Syawal tanah perkuburan yang menjadi seperti tapak pesta, bercampur lelaki perempuan. Oleh itu, kita kena mengatur semula supaya menziarahi kubur boleh dilakukan bila-bila masa.

Jangan Membazir, Ingat Mereka Yang Susah

SOALAN: Ada juga orang, apabila hari raya, mereka kononnya akan qadha makan, sehingga berlaku pembaziran, apa nasihat ustaz?

JAWAPAN: Dalam Al-Quran akan menyebut, kamu makan dan minum tetapi jangan berlebih-lebihan. Falsafah qada balik makan sebab puasa sebulan tu sudah tidak betul. Arahan untuk bersederhana sampai bila-bila dan sudah bagus dalam bulan Ramadan, kita punya biologi, fisiologi sudah cantik dan telah diatur ikut trek semula jadi. Kita pun dah buat gencatan senjata dengan syaitan dan dalam al-Quran sebut, orang membazir itu saudara syaitan.

Kita kena fikir, di samping kita bergembira, makanan banyak dan sebagainya, jangan lupa juga saudara-saudara kita negara-negara lain, hendak makan pun susah. Ada orang kalau anaknya ada empat orang, dia belia baju raya untuk mereka ditambah lagi seorang dalam kos yang sama. Duit untuk anaknya yang nombor lima itu dihantar kepada mereka yang susah.

Begitu juga juadah-juadah yang ada, jangan sampai membazir, berpada-pada dan kena ingat saudara-saudara kita yang susah

SOALAN: Lazimnya ketika bulan Ramadan, masjid sentiasa ramai tetapi apabila bermula Syawal, keadaan kembali seperti sedia kala, lengang.

JAWAPAN: Sepanjang Ramadan kita telah melakukan banyak perkara yang baik. Misalnya, bagi mereka yang merokok, siang hari mereka tidak merokok. Maknanya mereka boleh untuk berhenti merokok.

Begitu juga amalan-amalan lain seperti solat berjemaah, solat tahajjud dan bersedekah. Teruskan amalan-amalan baik ini, jangan terhenti menjelang Syawal. Itu sebab ada puasa enam di bulan Syawal yang pahalanya sama seperti berpuasa setahun.