DUNGUN: Seekor harimau jantan yang berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi semalam, akhirnya berjaya ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu hari ini.

Pengarah Abdul Malek Mohd Yusof berkata harimau yang dianggarkan seberat 130kg itu berjaya ditangkap kira-kira 3.30 petang tadi selepas ditembak menggunakan ubat pelali.

Beliau berkata haiwan yang dianggarkan berusia 5 tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500m dari jalan utama Kampung Besul Lama.

“Kita menggunakan kekuatan 8 anggota untuk mengangkat harimau tersebut ke atas lori.

“Ia akan dihantar terus ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Perhilitan di Sungkai, Perak untuk menerima rawatan dan ditempatkan di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Besul Lama selepas selesai operasi tersebut.

Malek berkata walaupun harimau tersebut berjaya ditangkap namun operasi mengesan seekor lagi harimau seperti didakwa penduduk masih diteruskan sehingga situasi benar-benar selamat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Besul Lama, Nasharudin Mohd Salleh berkata penduduk kampung kini boleh menarik nafas lega dan tidur lena dengan tertangkapnya haiwan liar berkenaan.

Beliau, yang mewakili penduduk kampung, mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pasukan polis dan Perhilitan yang bertugas 24 jam sehari menjaga keselamatan penduduk dan menjalankan operasi menangkap haiwan itu.

“Mengikut maklumat Perhilitan operasi akan dijalankan selama 3 hari lagi untuk mengesan seekor lagi harimau yang didakwa turut berkeliaran di sini.

“Bagaimanapun perkara itu hanya berdasarkan dakwaan penduduk kerana operasi yang dijalankan hanya menemui tapak kaki seekor harimau sahaja,” katanya.