Oleh Nazialita Geynna Maharan

GERIK:
Bangkai seekor harimau dahan dengan kaki kanan haiwan tersebut dipercayai tertusuk dawai jerat dijumpai di Kampong Sarok, Rancangan Penempatan Sementara (RPS) Dala, dekat sini pada petang Khamis.

Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin ketika dihubungi mengesahkan penemuan bangkai berkenaan yang dikategori di bawah spesis haiwan terlindung.

Jelasnya, penemuan bangkai harimau jantan dianggarkan seberat 20-25 kilogram tersebut merupakan kes pertama harimau dijerat di negeri Perak.

Katanya, bangkai harimau jantan yang berusia di antara 8 hingga 10 tahun itu juga dipercayai telah mati dua hari yang lepas.

Sementara itu, sebuah kenyataan media daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut mengesahkan bahawa bangkai haiwan spe­sies Neofelis Nebulosa itu ditemui dengan dawai jerat tertusuk pada kaki kanan belakang harimau jantan itu.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata Perhilitan daerah Gerik juga menjalankan pemeriksaan di keseluruhan kawasan tersebut bagi mencari dan memusnahkan jerat-jerat yang masih ada.

“Penggunaan jerat merupakan tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana boleh menyebabkan kepupusan pelbagai spesies hidupan liar secara drastik.

“Ia juga boleh mendatangkan kecederaan serius bukan sahaja pada hidupan liar malah be­risiko memberi ancaman kepada manusia yang melalui kawasan yang dipasang jerat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada petang Jumaat.

Wan Junaidi berkata, penggunaan jerat merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 serta tidak melebihi RM100,000 serta mandatori penjara tidak lebih dua tahun.

Katanya, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menyeru semua agensi pertubuhan badan bukan kerajaan dan orang ramai menyokong usaha kerajaan dalam memastikan hidupan liar dapat dilindungi daripada ancaman pemburu haram yang me­nyumbang kepada kepupusan haiwan.

Orang ramai boleh me­nyalurkan sebarang maklumat me­ngenai hidupan liar kepada Perhilitan melalui laman web www.wildlife.gov.my atau talian 1-800-88-5151.