SUNGKAI – Umum mengetahui antara faktor terbesar kepupusan Harimau Malaya di negara ini adalah disebabkan manusia.

Aktiviti dijalankan antaranya pembangunan yang tidak terancang serta pemburuan tidak terkawal secara sendirinya telah memusnahkan habitat yang selama ini menjadi tempat haiwan itu berlindung.

Di Malaysia, Harimau Malaya disenaraikan secara rasmi oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) sebagai spesis yang sangat terancam.

Pengerusi Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam), Dr S Santharasekaran berkata, situasi itu memberi gambaran jelas, sekiranya tiada sebarang langkah pemuliharaan dilakukan segera, Harimau Malaya yang menjadi kebanggaan negara ini berdepan dengan risiko sangat tinggi untuk pupus.

Menurutnya, sekitar 20 tahun lalu, terdapat sekurang-kurangnya 500 ekor Harimau Malaya hidup liar di seluruh hutan di Semenanjung Malaysia.

“Bagaimanapun jumlah itu semakin berkurangan dan dianggarkan ketika ini hanya 250 hingga 340 ekor sahaja masih kekal di habitat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, haiwan berkenaan hanya akan berasa terancam sekiranya kedudukan dan kemandirian mereka di kawasan seluas antara 10 hingga 60km persegi diganggu.

Katanya, kebanyakan kawasan hutan di Malaysia menerima impak yang menjejaskan habitat harimau hasil proses pembangunan.

“Lihat sahaja hutan-hutan di negara kita, kebanyakannya ditebang tanpa perancangan betul, lokasi pembangunan dan pertanian diwujudkan secara tidak terurus, ini menyebabkan harimau kehilangan tempat tinggal.

“Meksipun pelbagai penguatkuasaan dilakukan, kita tak boleh nafikan aktiviti pemburuan masih berleluasa, haiwan seperti babi hutan, kancil dan rusa, semua yang menjadi makanan utama harimau diburu secara melampau.

“Ini juga menjadi punca kemerosotan populasi harimau di negara ini,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari Harimau Sedunia bersama 130 murid dari 11 sekolah seluruh Perak di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, semalam.

Santharasekaran berkata, sejak lima tahun lalu, Perkam mengambil inisiatif memberi kesedaran mengenai tanggungjawab pemuliharaan harimau bermula di peringkat sekolah.

“Tahun lalu kita hanya gunakan maskot sahaja, kali ini mereka dapat rasa pengalaman sebenar, boleh lihat pergerakan, dengar ngauman harimau dan paling penting mendengar secara terus penerangan daripada pegawai dan petugas di pusat ini.

“Dengan pengetahuan yang mereka ada ini, kita harap ia membantu membina satu nilai tanggungjawab sosial apabila mereka dewasa kelak,” katanya.

Harimau yang berada di bawah peliharaan NWRC kebanyakannya diselamatkan daripada pelbagai bentuk ancaman.

Kali terakhir dibawa masuk adalah harimau jantan yang kini diberi nama ‘Yeop Tapah’ sekitar dua tahun lalu.

Harimau berkenaan tercedera di kaki kanan akibat terkena dawai perangkap yang digunakan untuk tujuan berburu.

Pegawai Hidupan Liar NWRC, Khairul Hazri Mohd Arif berkata, pusat yang dibuka pada 2013 itu kini menempatkan 16 harimau, lapan daripadanya harimau jantan.

Katanya, sepertimana pusat menyelamat yang lain, semua haiwan berkenaan dijaga rapi mengikut rutin harian yang ditetapkan termasuklah pemeriksaan kesihatan oleh doktor perubatan Veterinar.

“Secara purata, berat harimau yang berada di sini antara 120kg hingga 130kg dan boleh mencapai hingga 176kg, setakat ini, harimau paling tua direkodkan adalah berusia lebih 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata, istimewanya di NWRC, setiap harimau dinamakan mengikut lokasi di mana haiwan itu diselamatkan.

Langkah itu katanya, bagi memudahkan proses dokumentasi dilakukan juga proses pelepasan semula ke habitat asal.

INFO

Tiga spesis telah pupus: Bali, Caspian, Java

Enam spesis masih ada: Malaya, Siberia, Sumatra, Bengal, Indo-China, China Selatan

APA KATA MEREKA

“Sambutan seperti ini perlu digerakkan secara meluas sebagai satu cabang pengetahuan akan tanggungjawab kita kepada negara dalam aspek pemuliharaan khazanah.”

Guru SK Datuk Kelana, Tapah, S Thana Pakiam, 37,

“Selalunya saya hanya lihat harimau di zoo, tapi dengan peluang melihat sendiri di pusat ini, ia beri pengalaman berbeza dan membuatkan kita lebih faham apa itu tugas

memelihara haiwan yang terancam.”

Murid SK Datuk Kelana, Tapah, Adam Marzaman, 10 – sinar