Kuala Terengganu: Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merogol anak tirinya antara 2013 dan 2014.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 42 tahun dari Kuala Berang, Hulu Terengganu, didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang kini sudah berpisah dengan ibu kandung anak tirinya itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 10 tahun di sebuah pondok di Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 4.30 petang pada 12 Disember 2013.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi sama pada jam 5 petang pada 17 Januari 2014 manakala tertuduh sekali lagi mengulangi kesalahan sama di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di Hulu Terengganu, jam 3 petang pada 28 Februari 2014.

Azman menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh diwakili peguam Wan Zainuddin Wan Musa.

-myMetro