TAPAH – Jabatan Pertanian daerah Batang Padang dan Mualim meminta petani dan peladang di daerah ini mengaplikasikan Amalan Ladang Pertanian Baik (myGAP) supaya hasil pertanian mereka lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Pegawai Pertanian daerah Batang Padang Mualim, Aslynawati Abd Shukor berkata, myGAP adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) iaitu skim pensijilan dibangunkan Jabatan Pertanian Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik.

Menurutnya, mereka yang terlibat dalam sektor pertanian sama ada individu, syarikat atau tanah yang disewa dan diusahakan secara sah layak untuk melaksanakan myGAP.

“Mereka yang ada sijil myGAP mempunyai peluang pasaran yang lebih baik dan hasil pertanian lebih berdaya saing sekali gus mampu meningkatkan ekonomi diri dan negara.

“Peserta myGAP akan memperoleh hasil tanaman berkualiti, selamat dimakan dan sudah tentu akan lebih diyakini pasaran dalam dan luar negara,” katanya.

Aslynawati berkata, pihak jabatan akan membantu mereka dengan mengadakan pemeriksaan tapak, menganalisis hasil bagi menguji kandungan racun makhluk perosak pada hasil tanaman.

Katanya, di daerah Batang Padang dan Mualim terdapat lapan petani serta peladang yang menggunakan myGAP.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan 10 peladang hingga tahun hadapan untuk mengaplikasikan amalan itu di ladang mereka.

“Petani dan peladang yang mengguna pakai myGAP menunjukkan perkembangan positif dari segi pengeluaran hasil selain pokok serta tanaman sayur lebih sihat berbanding dahulu.

“Ini kerana myGAP mengutamakan konsep keselamatan makanan, alam sekitar, pekerja dan penghasilan makanan yang dijamin bermutu,” katanya.

-SinarHarian