IPOH – Hasil sarang burung walit didakwa merosot akibat tindakan individu yang memecah masuk membuang telur mahupun anak burung berkenaan dari sarang yang dicuri mereka.

Pengerusi Persatuan Usahawan Rumah Burung Walit Malaysia, Kazumi Ong berkata, tindakan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan usahawan tetapi juga menyebabkan jumlah unggas itu semakin berkurangan.

“Untuk makluman hasil pungutan sarang burung menurun secara mendadak kerana beribu-ribu anak burung walit mati setiap kali pencuri menceroboh masuk ke rumah burung.

“Mereka bukan hanya mencuri sarang burung tetapi juga membunuh haiwan ini dengan membuang telur serta anaknya yang masih di dalam sarang selepas mencuri dan akibatnya haiwan berkenaan mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurut Ong lagi, pihaknya juga bimbang sekiranya tiada tindakan segera diambil boleh mengundang kepada kepupusan burung walit.

“Kami ingin memohon jasa baik pihak polis untuk membantu usahawan dalam membanteras kes kecurian sarang burung walit yang semakin berleluasa di seluruh negara.

“Banyak aduan dibuat kepada pihak berkuasa tetapi perkara ini masih lagi berlarutan dan membawa kepada kerugian yang besar bagi usahawan seperti kami yang bergantung sepenuhnya dalam menjana pendapatan menyara keluarga,” katanya.

Ong juga berkata, industri burung walit memiliki potensi besar dalam pasaran antarabangsa menjadi pilihan utama kebanyakkan usahawan luar bandar hari ini kerana dapat menjana pendapatan lumayan.

“Apa yang lebih membanggakan ialah  Malaysia adalah pengeluar sarang burung walit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia dengan purata lebih 50 hingga 60 tan sarang burung dihasilkan dalam sebulan.

“Permintaan sarang burung ini kebanyakkanya datang dari China kerana ia mempunyai khasiat yang tinggi bagi kesihatan dan juga untuk tujuan perubatan,” katanya – sinar