TANJUNG MALIM: Menteri Besar Perak menyifatkan hasrat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) negeri ini yang tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai perkara yang positif.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu menunjukkan kematangan ahli BN negeri Perak dalam berpolitik dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu.

“Jangan lihat ini dari segi masalah tetapi  ia menunjukkan kita (wakil-wakil rakyat BN Perak)  mempunyai persefahaman di antara satu sama lain.

“Mereka merasakan tidak boleh beri sumbangan lagi kepada rakyat jadi mereka nyatakan hasrat tersebut.

“Jadi tidak ada kena mengena dengan masalah politik dalaman dan sebagainya seperti didakwa,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri jamuan hari raya bersama warga Proton di sini pada Sabtu.

IMG-20170722-WA0034

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat ADUN Selama, Datuk Mohamad Daud Mohamad Yussof dan ADUN Kubu Gajah Ahmad Hasbullah Alias yang tidak mahu bertanding pada PRU depan.

Mohammad Daud memberi alasan faktor kesihatan merupakan punca utama beliau berbuat demikian manakala Ahmad Hasbullah pula memberitahu mahu memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk bertanding.