BAGAN DATOH: Abang keempat Allahyarham Ahmad Dzulfikri sebak kerana hasrat keluarga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya meraikan ulang tahun kelahiran ke-45 adik bongsu mereka hari ini (Jumaat) tetapi tidak kesampaian apabila meninggal dunia malam tadi.

Abang keempatnya, Datuk Mohd Lokman Hamidi berkata, adiknya yang mempunyai masalah sindrom down, berusia 45 tahun hari ini.
“Kami adik beradik termasuk keluarga merancang untuk menyambut ulangtahun kelahirannya di hospital hari ini namun, tidak sangka dia meninggal dunia malam tadi.

“Saya, bagi pihak keluarga, berterima terima kasih kepada semua yang membantu dalam urusan pengebumian jenazah,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian Ahmad Dzulfikri di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nipah Darat pada Jumaat.

Lokman berkata, Ahmad Dzulfikri yang lebih dikenali dengan nama manjanya ‘nanang’ sering dimasukkan ke hospital sejak enam bulan lalu.

“Walaupun beliau bermasalah sindrom down tetapi Allahyarham disayangi keluarga kerana dia seorang periang dan amat dikenali di kalangan penduduk Kampung Sungai Nipah Darat.

“Nanang rapat dengan allahyarham ibu dan bapa kami tetapi sejak pemergian mereka, abang sulung saya (Ahmad Zahid) mengambil tanggungjawab menjaganya di rumah beliau di Kuala Lumpur,” katanya.