SLIM RIVER – Hasrat seorang pemandu ambulans untuk menziarahi keluarganya tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam nahas di KM368.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungkai hari ini.

Menurut jirannya, Mohd Suhaimi Md Said, 61, hasrat itu pernah disuarakan mangsa, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, ketika berbual di sebuah kedai minum.

“Kebiasaannya bila cuti kami selalu minum di kedai. Banyak perkara yang disembangkan dan dia pernah beritahu yang dia beritahu yang nak balik ke Baling hari ini tapi dia tidak ceritakan secara terperinci.

“Semalam kami sempat berselisih ketika menunggang motosikal dan dia sempat mengangkat tangan tanda bersapa. Tidak sangka dia pergi dulu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik, Hospital Slim River di sini.

Katanya, Allahyarham ada menunjukkan tingkah laku yang berbeza.

Mangsa terkorban dalam nahas di KM368.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungkai hari ini.
“Rakan isteri arwah ada datang ke rumah petang semalam beritahu yang arwah kelihatan tidak boleh duduk diam dan asyik ke hulu hilir. Tak sangka pula itu petanda dia akan pergi selamanya.

“Kami pun terkejut dengan kehilangan arwah kerana dia peramah dan mudah mesra dengan orang ramai di kampung kami,” katanya.

Isteri Mohd Hafidz, dikenali sebagai Rohaya tidak mengetahui perancangan suaminya untuk pulang ke kampung sebelum enggan ditemubual ketika dihubungi di sini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak perempuan berusia 11, lapan dan tujuh tahun.

Jenazah dikebumikan di kampung halamannya di Merbok, Kedah.

Sementara itu, suami kepada pesakit yang turut maut dalam kejadian itu reda dengan kejadian yang menimpa isterinya, Azizah Dolah, 66.

Dia yang ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Difahamkan mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk pemeriksaan lanjut kerana menghidap kencing manis dan sakit buah pinggang.

Kemalangan itu berlaku ketika mangsa dibawa semula ke Hospital Slim River selepas selesai menerima rawatan di hospital terbabit. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 2 di sini.

-SINARHARIAN