SUNGAI PETANI: “Itu kali pertama arwah mengambil upah tangkap burung malah dia merancang untuk menjadikan pekerjaan itu sebagai pendapatan sampingan. Namun saya tidak sangka ia adalah kali pertama dan terakhir buatnya.”

Begitu kata Saodah Kholifah, 58, ibu kepada Md Azi Mohd Yusof, 34, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat di bangunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Merbok ketika cuba menangkap burung merpati, hari ini.

Katanya, Khamis lalu, anak kedua daripada tiga beradik itu ada memberitahu akan membantu kawannya mengambil upah menangkap merpati di universiti berkenaan sebelum mula keluar bekerja pada 11 malam semalam.

“Sebenarnya universiti itu memang selalu ambil upah orang tangkap burung merpati kerana tidak mahu mengotorkan kawasan universiti dengan najis burung itu dan arwah ada beritahu dia nak bekerja mengambil upah untuk tangkap merpati, kebetulan pada malam kejadian arwah kena gantikan kawan dia yang tak dapat bekerja.

“Saya tak rasa risau sebab arwah ada pengalaman menangkap burung dan kawannya yang lain juga dah lama bekerja menangkap merpati,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok, hari ini.

Saodah berkata, anaknya itu ada menunjukkan sikap yang pelik sebelum kejadian apabila dia mengucup satu-satunya anak saudaranya, Putri Nur Elisya Mohd Khairul Hisham, 4, berulang kali pada Jumaat lalu.

“Pada hari raya pertama, dia kerap mendukung dan mengucup sambil menasihatkan anak buahnya itu menjaga diri dan sebagainya.

“Mulanya kami anggap itu adalah perkara biasa kerana arwah memang rapat dengan cucu saya itu, namun selepas berfikir semula, mungkin itu adalah petanda bahawa dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Katanya, anaknya tidak sedarkan diri selepas kejadian itu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal pada 10.55 pagi tadi dipercayai akibat kecederaan dalaman.

NSTP hari ini melaporkan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Sazalee Adam, berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu lelaki berusia 34 tahun itu bersama tiga lagi rakan sekerjanya pergi ke bangunan itu untuk menangkap burung merpati.

Katanya, ketika mangsa bertindak menghalau burung merpati untuk ditangkap oleh rakan yang lain, tiba-tiba mangsa terpijak siling bumbung dan terjatuh ke aras bawah.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut – berita harian