PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador digesa membebaskan Khalid Ismath dengan segera selepas aktivis Parti Sosialis Malaysia itu ditahan atas dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

“Tindakan moratarium atau menggantung Akta Hasutan patut dilaksanakan sebelum langkah pemansuhan dikuatkuasakan.

“Saya minta Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) bertindak sewajarnya,” katanya

Hassan berkata, janji PH dalam Manifesto Pilihan Raya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 perlu dihormati dan diingat.

Semalam, Khalid ditangkap dalam siasatan polis ke atas dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Beliau ditangkap pada 10.30 malam di rumahnya di Klang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara untuk ditahan reman.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata, bekas ketua Pemuda PSM itu ditahan atas tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) dalam siasatan berkaitan dengan catatan Twitter yang didakwa dibuat terhadap Tunku Azizah.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan selepas menerima satu laporan berhubung penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong.

Laporan itu dipercayai dibuat selepas Tunku Azizah menyahaktif akaun Twitternya semalam.

Penutupan akaun itu menjadi perbualan di media sosial dan sesetengah pengguna percaya ia ada kaitan dengan beberapa komen yang didakwa menghina Tunku Azizah.

Bagaimanapun, Tunku Azizah semalam dilaporkan berkata, akaun Twitter itu ditutup atas sebab peribadi dan beliau tidak membaca atau sedar tentang komen tersebut.