KANGAR 2 Mei – Orang ramai diminta berhati-hati supaya tidak tertipu dengan harumanis dari Indonesia yang semakin banyak dijual sama ada di negeri ini dan luar Perlis kerana mempunyai warna dan bentuk fizikal luarannya yang serupa.

Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, walau bagaimanapun harumanis yang dieja sebagai ‘arumanis’ itu mempunyai rasa yang berbeza dengan harumanis dari Perlis.

Katanya, selain mempunyai kandungan serat yang lebih tinggi dan kurang manis, arumanis juga tidak berbau harum seperti mana harumanis.

“Kita tidak dapat menghalang kemasukan buah ini (arumanis) kerana pengimport membawa masuk sebagaimana mempelam lain dari Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan penanam harumanis di negeri ini mengenai lambakan buah berasal dari Indonesia tersebut sehingga mengelirukan pembeli.

Mengulas lanjut, Hafizuddin mengakui bimbang sekiranya para pembeli khususnya dari luar negeri ini tertipu jika tidak berhati-hati.

Katanya, hal demikian kerana hanya melalui rasa sahaja boleh membezakan antara arumanis dan harumanis.

“Memang susah hendak membezakan antara kedua-dua buah ini kecuali dengan merasanya sahaja.

“Ini termasuklah ciri ‘dua tanduk’ di bahagian buah arumanis yang merupakan ciri utama terdapat pada harumanis ,” katanya yang memberitahu, arumanis dijual pada harga kira-kira RM4 hingga RM5 sekilogram berbanding harumanis antara RM30 hingga RM40 sekilogram pada musim ini. – UTUSAN ONLINE