Segamat: Kementerian Kesihatan menjangkakan hospital di negara ini tidak akan mengalami serangan siber ransomware yang kini melumpuhkan perkhidmatan kesihatan di England berikutan negara ini masih belum mempunyai sistem pangkalan data seperti dilaksanakan di negara itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa kerajaan meningkatkan sistem kawalan khusus untuk berdepan dengan ancaman keselamatan siber seumpama itu.

“Buat masa ini, serangan ransomware mungkin tidak memberi kesan besar kepada negara kita kerana kita belum ada sistem pangkalan data kesihatan bersepadu nasional, cuma secara asing.

“Di England, mereka mempunyai sistem ini dan jika kena (serangan siber), keseluruhan sistem pangkalan data di seluruh negara juga akan kena (terjejas),” katanya selepas merasmikan program Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dewan Putra, FELDA Palong Timur, di sini, semalam.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, orang ramai termasuk doktor tidak perlu risau mengenai perkara ini kerana sistem pangkalan data belum diintegrasikan lagi.

“Setiap hospital di negara ini mempunyai sistem mereka sendiri. Kalau kena pun (serangan siber), mereka saja yang kena dan tidak melalui seluruh negara.

“Lagipun sistem kita (Kementerian Kesihatan) diuruskan oleh Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan siber di negara ini,” katanya.

Akhbar melaporkan hospital dan pakar pembedahan di seluruh England terpaksa menolak pesakit dan membatalkan janji temu selepas serangan siber berkenaan melumpuhkan sebahagian sistem komputer perkhidmatan kesihatan kendalian negara itu.

Dalam pada itu, Subramanian berkata, kes malaria di negara ini menunjukkan penurunan kes lebih 90 peratus sejak negara melaksanakan Program Eradikasi Malaria sejak empat dekad lalu.

Beliau berkata, langkah jangka masa panjang itu akhirnya memberi kesan positif dalam usaha menjadikan negara bebas malaria menjelang 2020. – Hmetro