GERIK – Pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) diminta berhati-hati ketika melalui laluan tersebut terutamanya dalam musim tengkujuh kebelakangan ini.

Akhir-akhir ini, banyak kes runtuhan tanah berlaku di kawasan itu dan terbaru, insiden sama dikesan di Kilometer 189 JRTB, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, salah satu lorong terpaksa ditutup bagi kerja-kerja pembersihan jalan sebaik saja mendapat maklumat berhubung kes itu.

“Masa berlakunya runtuhan kira-kira jam 6 petang di Kilometer 189, selepas terowong dari Gerik menghala ke Jeli. Tiada kecederaan atau kerosakan kenderaan dilaporkan.

“Sepasukan anggota polis dan ‘flagman’ segera ditempatkan di lokasi berkenaan sementara menunggu kakitangan JKR membersihkan jalan.

“Punca runtuhan kerana hujan lebat di kawasan bukit menyebabkan air dari atas bukit turun ke jalan raya membawa tanah bercampur lumpur,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua lorong dibuka semula kepada orang awam pada jam 2.30 pagi semalam selepas jalan dibersihkan.

“Begitu pun, saya nasihatkan pengguna supaya berhati-hati ketika menggunakan laluan ini kerana kita bimbang mungkin akan ada runtuhan lain,” katanya.

-SinarHarian