IPOH – Umat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan maklumat yang diperolehi daripada media sosial, lebih-lebih lagi yang melibatkan akidah dan keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, di dalam zaman ledakan maklumat sekarang, pelbagai isu berlegar di alam maya, termasuk yang bersifat fitnah.

Menurut beliau, kegagalan untuk menganalisa dan menerima tanpa usul periksa segala maklumat yang diterima, dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan merosakkan suasana harmoni di negeri dan negara.

“Jika ada keraguan, eloklah dapatkan penjelasan mengenai kesahihan maklumat daripada pihak berkenaan, khususnya jabatan dan agensi berkaitan, di samping tokoh-tokoh yang berwibawa dan berintergriti,” katanya kepada Suara Perak selepas menyampaikan Ucaptama dan Perasmian Seminar Perbandingan Pendidikan Badiuzzaman Said Nursi di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Drs Nizar berkata, soal akidah umat Islam dan keharmonian negeri serta negara tidak boleh dikompromi, sebaliknya perlu sentiasa disuburkan supaya ia terus kekal sampai bila-bila.

Terdahulu, di dalam ucapannya, beliau menasihatkan umat Islam supaya terus menimba ilmu, baik ilmu dunia mahupun ilmu akhirat untuk melahirkan modal Insan yang berilmu dan beramal.

Beliau berkata, gerakan dakwah atas pelbagai nama berasaskan Kitab Risalah An-Nur nukilan Imam Badiuzzaman Said Nursi telah berkembang ke seluruh dunia dan semakin menjadi perhatian ramai, termasuk dari yang bukan beragam Islam.

Menurut Drs Nizar, risalah An-Nur ini juga semakin banyak dikaji dan diwacanakan oleh para intelektual yang terdiri daripada yang Islam dan bukan Islam.

Badiuzzaman Said Nursi adalah antara tokoh Islam yang paling berpengaruh di dunia untuk abad ke – 20 dan semakin berpengaruh memasuki abad ke – 21 ini.

Drs Nizar berharap dengan penganjuran seminar buat kali ke – 2 di Perak itu, akan memberi impak kepada penghayatan iman dan komitmen kepada penghayatan Islam di negeri ini.