PARIT – Kehilangan pekerjaan menyebabkan seorang lelaki kelainan upaya terpaksa tidur di masjid atau surau sekitar Kampung Tanjung Medan, Layang-Layang Kiri di sini.

Malah Ahmad Suzali Shafiee, 35, terpaksa mengharapkan ihsan penduduk kampung yang memberinya makan dan minum jika wang bantuan RM300 yang diperoleh daripada Baitulmal setiap bulan habis.

Menurut Ahmad Suzali, sebelum ini dia menetap di Ipoh bersama ibu saudaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun kontraknya telah tamat April lalu.

“Selepas tiada pekerjaan saya ambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman iaitu di Tanjung Medan tetapi tidak sangka rumah peninggalan arwah emak sudah berhutan dan tidak boleh tinggal.

“Mahu atau tidak saya terpaksa menumpang tidur di surau atau masjid kerana sudah tiada tempat lain yang boleh dituju,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas penduduk kampung mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong membersihkan rumah peninggalan arwah emaknya, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, penduduk kampung, Abu Hassan Mohd Isa, 68, yang menganjurkan gotong-royong berkenaan berkata, dia dan beberapa penduduk kampung tidak sanggup melihat keadaan Ahmad Suzali yang tidak mempunyai tempat tinggal.

“Kebetulan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) ada hadir ke kampung ini dan memaklumkan untuk membina rumah bagi Ahmad Suzali di tapak rumah emaknya.

“Jadi kami semua sepakat untuk mengadakan gotong-royong menebas tanah yang sudah bersemak dan berharap proses pembinaan rumah Ahmad Suzali dapat dilakukan segera,” katanya.

Abu Hassan juga berharap ada pihak yang prihatin tampil membantu Ahmad Suzali tidak kira apa jua sumbangan yang boleh diberikan kepadanya yang hanya bergantung kepada bantuan Baitulmal semata-mata.

“Kita orang kampung dia, jadi sudah pasti kita perlu bantu dia dan bukan biarkan dia lebih-lebih lagi bila ke masjid atau surau untuk solat Subuh kita lihat dia tidur di luar masjid yang berbumbung.

“Hati mana tak sayu, sebab itu bila pegawai Baitulmal ada datang melihat tapak cakap untuk buat rumah kami rasa gembira dan terus menebas semak di tapak rumah arwah emaknya,” katanya – sinar