SOCHI, Russia: Cristiano Ronaldo membuktikan betapa dirinya serius di Piala Dunia selepas meledak hatrik bagi menjamin keputusan seri 3-3 dengan Sepanyol sekali gus meletakkannya pada satu tahap lebih baik dalam kariernya.

Bintang Real Madrid, Ronaldo menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-88 bagi menyelamatkan satu mata buat juara Eropah berkenaan pada perlawanan pembukaan Kumpulan B, selepas jaringan Nacho pada babak kedua meletakkan Sepanyol di hadapan dengan 3-2.

Sebelum itu, Ronaldo meledak dua gol bagi membolehkan pasukannya mendahului babak pertama, dengan Diego Costa dua kali menyamakan kedudukan buat Sepanyol.

Fernando Hierro membuat kemunculan pertamanya di bangku simpanan Sepanyol, hanya dua hari selepas pemecatan sensasi Julen Lopetegui namun Ronaldo tetap mencuri perhatian ramai.

Selepas hanya tiga gol keseluruhan dalam tiga Piala Dunia sebelum ini, dia kini menggandakan jumlah berkenaan hanya dalam satu malam di sini dan kini sudah meledak lapan gol berturut-turut dalam kejohanan utama bermula dari Euro 2004.

Dia adalah satu-satunya pemain yang meledak empat gol dalam Piala Dunia, mengekori jejak Pele dan duo Jerman, Uwe Seeler dan Miroslav Klose.

“Ia satu rekod individu yang baik, satu lagi pencapaian dalam karier saya,” kata Ronaldo. “Bagi saya apa yang penting adalah memberi penekanan terhadap apa yang pasukan lakukan apabila menentang salah sebuah pasukan yang menjadi pilihan untuk menjuarai Piala Dunia ini.” – AFP