PARIT BUNTAR– Rakyat harus menghayati konsep kesyukuran iaitu berterima kasih kepada kerajaan yang membela nasib mereka, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, mereka harus menterjemahkan konsep kesyukuran melalui sokongan dan dokongan  menjelang kepada kerajaan yang memerintah iaitu kerajaan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum (PRU)  ke-14 nanti.
“Bagaimana kita nak amalkan konsep kesyukuran kalau tidak berterima kasih kepada orang yang memberi, tak mendokong dan menyokong kepada orang yang memberi.
” Di hari besar PRU ke-14 nanti kita mahu bersyukur kepada Allah Taala, mendokong dan menyokong kepada orang yang memberi itulah syukur yang sebenarnya.
“Minta setiap waktu, bila pemimpin turun tiba masanya nak minta (undi) satu pun tiada.. kain bagi kami ambil…beras bagi kami ambil…gula bagi kami ambil.. duit bagi kami ambil…undi kami tak mahu bagi, itu adalah orang yang tidak syukur,”kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Pemimpin bersama Rakyat Daerah Kerian di Dataran Kerian Permai, di sini hari ini.
Yang turut sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Mat Bakar Ali dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
Dalam pada itu beliau turut menasihati pemimpin supaya tidak menjadi pemimpin bermusim hanya apabila menjelang PRU.
“Pemimpin pula jangan tunggu lima tahun sekali datang ke cawangan-cawangan ketuk pintu nak dapatkan sokongan, lepas menang tak turun pun..tak jenguk pun dan tak peduli pun.
“Jangan jadi pemimpin bermusim…kena turun setiap masa, perlu undi atau tak…ada PRU atau tidak tetap turun membantu dan jenguk rakyat,”katanya.