BUKIT MERTAJAM: Marah kerana dihalang mengambil televisyen, seorang lelaki mengamuk hingga sanggup memukul bapanya dengan kayu hoki dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Permatang Pauh dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa yang berusia 54 tahun mengalami kecederaan luka di kepala, bahu kiri serta belakang badan dan sakit dada.

Mangsa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal itu kini dirawat di Hospital Seberang Perai dan perlu menjalani imbasan X-ray di dada serta kepalanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian berlaku selepas suspek yang berusia 19 tahun pulang untuk mengambil televisyen di rumah namun dihalang mangsa.

Menurutnya, dua beranak itu tinggal bersama di rumah terbabit namun selepas anaknya berkahwin baru-baru ini, dia mengarahkan suspek berpindah keluar daripada kediaman mereka.

“Suspek kemudian pulang mahu mengambil televisyen namun mangsa menghalang kerana barang itu adalah miliknya.

“Marah dengan tindakan bapanya, suspek terus mengambil kayu hoki dan memukul kepala serta badan mangsa,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, kejadian itu bagaimanapun berjaya dileraikan oleh anak sulung mangsa yang turut berada dalam rumah terbabit ketika itu.

“Melihatkan kepala bapanya yang berdarah, suspek menghubungi ambulans dan dia kemudian berjaya ditahan polis di rumah terbabit selepas kejadian itu.

“Polis juga turut merampas kayu hoki yang digunakan suspek ketika memukul bapanya dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian