KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, ditahan untuk kali kedua bersama lima individu lain dipercayai ahli PKR dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang, malam semalam.

Haziq Abdullah, 27 ditahan bersama dua lagi individu berusia 25 dan 38 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya, sekitar jam 9 malam.

Difahamkan penahanan ketiga-tiga mereka dipercayai susulan daripada siasatan berhubung penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis yang sebelum ini diakui oleh Haziq sendiri sebagai salah seorang individu yang dirakam.

Difahamkan dalam tangkapan berkenaan pihak polis turut merampas lima telefon bimbit serta kad SIM.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut menahan seorang lagi ahli parti PKR, berusia 36 tahun di sebuah restoran di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, di sini, serta merampas telefon bimbit sebelum dibawa ke kediamannya di sebuah apartment di Taman Bukit Subang, Bandar Sunway, untuk pemeriksaan lanjut.

Pasukan polis terdiri dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, turut menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di USJ 1, Subang Jaya, dan merampas enam telefon bimbit pelbagai model dan kad SIM.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan penahanan Haziq serta beberapa individu lain itu namun enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, kesemua mereka akan direman hari ini.

 

-BeritaHarian