PARIT: Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar di sini bagi membersihkan tumpahan asid sulfurik yang tumpah dalam setor makmal sekolah itu pagi ini.

Menurut jurucakap JBPM Perak, mereka menerima panggilan mengenai insiden itu pada 9.55 pagi.

“Semasa komander operasi sampai di tempat kejadian, terdapat bahan pecah di dalam setor makmal yang dipercayai dalam bentuk cecair dan mengeluarkan bau yang tengik.

“Bagaimanapun tidak terdapat sebarang kecederaan kepada guru atau pelajar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut jurucakap itu lagi, terdapat tumpahan di dalam kabinet makmal tersebut dan pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh untuk proses pembersihan.

“Dua orang ‘chemical diver’ membuat kerja-kerja untuk mencari punca masalah dengan menggunakan empat gas meter dan didapati tiada sebarang bahan merbahaya pada bacaan alat pengesan,” ujarnya.

Menurutnya, pasukan Hazmat kemudiannya membuat kerja-kerja meneutralkan bahan tersebut menggunakan ‘chemical binder’ sebelum meletakkannya ke dalam sebuah bekas.

“Pasukan seterusnya membuat pemeriksaan akhir untuk mengesan bahan-bahan lain tetapi tiada bacaan dan kawasan diisytiharkan selamat,” katanya.

Sepanjang operasi, pihak bomba menutup kawasan sekitar makmal bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ehsan Mohamad Ibrahim tamat jam 2 petang.