IPOH- Helah melarikan diri dengan bersembunyi di kabinet menyimpan minuman keras dan bilik air gagal apabila 30 orang wanita warganegara Vietnam termasuk seorang majikan Malaysia ditahan dalam Ops Bersepadu.

Serbuan yang dijalankan di kelab malam sekitar Station 18 dan Jalan Mustapha Al Bakri di sini mendapati kesemua wanita itu disyaki bekerja sebagai pelayan kelab malam tersebut.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Perak, Kamalludin Ismail, pusat hiburan itu menawarkan khidmat seks dan bayaran di antara RM 150 hingga RM 250 untuk sejam.

“Seramai 18 Pegawai Imigresen dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Perak dan 25 pegawai dari Kastam Diraja Malaysia terlibat dalam operasi ini.

“Ketika serbuan dibuat mereka sedang asyik melayan pelanggan tempatan, turut dijumpai kodom yang bersepah di dalam bilik dan bakul sampah.

“Seramai 64 orang diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara , kesemua mereka berusia dalam lingkungan 17 hingga 47 tahun,”katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan antaranya di bawah Seksyen 6(1) (c), Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Langkap.