KUALA KURAU – Helah dua warga asing bersembunyi dalam ruang enjin gagal menyelamatkan mereka daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pengkalan Kuala Kurau di persisiran pantai Kuala Gula, di sini petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Mohamad Zainal berkata, helah mereka turut meliputi taktik membiarkan tekong warga tempatan sahaja berada di atas bot, kononnya untuk mengaburi mata agensi penguatkuasaan itu.

Malangnya, beliau menegaskan perbuatan itu disedari anggota bot ronda Maritim sewaktu terserempak dengan sebuah bot pukat hanyut dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 4.14 batu nautika dari persisiran pantai Kuala Gula, pada jam 4.30 petang.

“Sejurus terserempak dengan bot itu, pihak kami segera menghampirinya dan mendapati seorang tekong berusia 30-an dilihat bersendirian.

“Apabila ditahan, kami segera melakukan pemeriksaan lanjut dan menjumpai dua lelaki warga asing bersembunyi di dalam ruang enjin bot itu,” katanya kepada media dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata, kedua-dua lelaki itu diarahkan keluar dari tempat persembunyian dan siasatan lanjut mengesahkan mereka berasal dari Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, bot bersama tekong serta dua warga asing berkenaan yang bekerja sebagai awak-awak segera dibawa ke jeti pengkalan dan diserahkan kepada bahagian siasatan.

“Tekong bot dilepaskan dengan jaminan polis, manakala dua warga asing berkenaan di bawah ke Mahkamah Taiping pagi ini untuk permohonan reman sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan pekerja asing tanpa kenenaran Ketua Pengaraj Perikanan Malaysia.

“Pemilik bot berkenaan juga akan disiasat kerana menggaji pekerja asing tanpa permit,” katanya – sinar