PUTATAN: Dua helikopter tempur jenis McDonnell Douglas (MD) akan ditempatkan di Pangkalan Operasi Hadapan (POH) Helikopter Lahad Datu menjelang April ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata aset pertahanan udara dari jenis helikopter tempur ringan itu akan membantu operasi pemantauan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

Katanya, jumlah sebenar aset udara di pangkalan berkenaan akan diumumkan kemudian tetapi sebagai permulaan dua unit helikopter MD akan dihantar tidak lama lagi.

“Walaupun MD bukan helikopter tempur seperti Apache dan Tiger tetapi bagi ancaman yang dihadapi di Sabah, apa yang kita sudah kenal pasti itu sudah memadai dengan turut dibantu aset lain.

“Ia diletak di pangkalan Lahad Datu. Jumlah sebenar helikopter berkenaan akan kita umumkan nanti tetapi dua unit akan tiba sebelum April ini,” katanya kepada media ketika lawatannya di Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin; Panglima Tentera Darat (TDM), Tan Sri Zulkiple Kassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi.

Hadir sama ialah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar dan Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan juga sedang meneliti empat atau lima jenis pesawat untuk melaksanakan rondaan maritim di pantai timur Sabah.

“Pemilihan jenis pesawat dibuat berdasarkan spesifikasi teknikal, kewangan dan pakej yang ditawarkan. Pangkalan untuk pesawat terbabit pula belum ditetapkan tetapi ia boleh ditempatkan di mana saja,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Hishammuddin berkata Trilateral Maritime Patrol (TMP) yang dilaksanakan menerusi Perjanjian Kerjasama Tiga Pihak (TCA) di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan terus diperkukuhkan.

Katanya, satu lawatan bersama (Trilateral Port Visit) membabitkan tentera laut ketiga-tiga negara akan dilaksanakan di Tarakan, Indonesia pada bulan depan sebagai susulan lawatan dilakukan di Tawi-Tawi, Filipina, baru-baru ini.

“Tentera laut ketiga-tiga negara juga sudah melaksanakan tujuh Rendezvous (RV) di Laut Sulu sejak TMP dilancarkan pada Jun tahun lalu. Mereka bertemu di satu lokasi yang ditetapkan ketika sedang melakukan rondaan di laut,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin meminta pihak industri yang terbabit dalam pembangunan pertahanan supaya menyalurkan sedikit keuntungan dengan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk manfaat warga tentera dan veteran tentera.

Katanya, CSR boleh disalurkan bagi membantu agenda yang sedang dilaksanakan Kementerian Pertahanan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti berkaitan pendidikan, kesihatan dan perumahan anggota tentera.

“Ia tidak semestinya membabitkan duit yang banyak, contohnya menyediakan pusat dialisis untuk anggota tentera dan veteran tentera sudah cukup besar maknanya,” katanya.-berita harian