IPOH– Budaya surat sokongan atau dalam erti kata lain penggunaan ‘kabel’ dalam proses pertukaran pegawai, kenaikan pangkat dan pelantikan jawatan tetap patut dihapuskan demi keadilan semua pihak.

Menurut perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Badrin Khalid, situasi itu telah menghantui urusan perkhidmatan awam dan jentera pentadbiran Kerajaan sejak sekian lama.

“Budaya ini patut dihapuskan terutama sekali yang melibatkan implikasi kewangan, ia menimbulkan persepsi negatif di mata masyarakat terutamanya di kalangan kakitangan Kerajaan.

“Mereka kata dulu dan kini sama selama-lamanya, akhirnya mereka tidak tahu lagi nak pilih yang mana, kita perlu tunjuk yang kita lebih baik dari Kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbahasan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh pada Sabtu.

Dalam pada itu Badrin turut menyeru agar dihentikan budaya membodek atau ‘yes man’ dalam pentadbiran khususnya di Kementerian dan agensi di bawahnya.

“Setiap ketua jawatan mesti berani mengatakan tidak dan memberi nasihat serta cadangan kepada ketua masing-masing, sikap segelintir penjawat awam yang suka membodek dan berdiam diri perlu dihindar.

“Kalau-kalaulah kita buat kesilapan, kalau kita buat salah pun..mereka ‘yes man’ saja, maka ini bukan perkara yang baik dalam pentadbiran,”ujarnya lagi.