PETALING JAYA: Pemuda PPBM menggesa semua pihak berhenti mendesak Dr Mahathir Mohamad berundur kerana beliau berulang kali berjanji akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, rakyat akan menganggap Pakatan Harapan tidak matang kerana terus memberi tekanan kepada Mahathir untuk melepaskan jawatan.

“Kami minta semua pihak bersabar, henti tanya bila beliau nak serah jawatan, beliau sudah cakap berulang kali akan lepas jawatan bila keadaan negara stabil. Kita kena pulihkan negara dahulu, sebagai perdana menteri beliau tengah berusaha nak selesaikan kemelut rakyat.

“Kalau kita minta tukar Tun, tekan minta beri tarikh, ia satu tindakan untuk kepentingan individu. Kita kena ingat yang Tun dipilih rakyat, tanpa Tun kita tidak boleh menang pun.

“Tun merupakan tunjang kepada PH dan pengalaman beliau diperlukan buat masa sekarang, baru setahun berlalu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas tindakan Bersih 2.0 bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) memberi tempoh sehingga 9 Mei 2021 kepada Mahathir untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Tindakan itu menyusul kumpulan pro-Anwar yang dilaporkan berkata, ia akan menetapkan tarikh untuk Mahathir berundur dalam tempoh seminggu.

“Kami sendiri akan letak tarikh untuk beliau, sama ada awal Januari 2020 atau Mei 2020, cukup 2 tahun, setuju atau tidak setuju, itu pandangan kami,” kata Otai Reformis pada 3 Ogos lalu.

Ulya Aqamah berkata, fokus PH bukannya peralihan kuasa dan Pemuda PPBM kecewa kerana desakan terhadap Mahathir menunjukkan gabungan itu seolah-olah hilang tumpuan untuk mentadbir negara.

Katanya, rakyat tidak kisah mengenai soal peralihan kuasa kerana mereka mahu pentadbiran lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.