Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Pembangkang diminta menghentikan tohmahan pemberian sumbangan zakat oleh Yayasan Tabung Haji sempena program Jelajah Ziarah Ramadan Al-Mubarak.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, dakwaan pembangkang kononnya program itu merupakan kepentingan peribadinya adalah tidak benar sama sekali.

“Cukup-cukuplah berpolitik, beri zakat dan sumbangan pun (pembangkang) nak dipertikaikan sedangkan zakat ini melibatkan lebihan duit zakat Tabung Haji dan ditambah dengan wang daripada UMNO dan kerajaan, yang bukan hanya kepada asnaf, malah juga kepada keluarga yang kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, warga emas dan pesakit terlantar.

“Bukti program ini tidak ada kaitan dengan kepentingan peribadi apabila sumbangan ini bukan hanya diberikan kepada penyokong UMNO, malah separuh daripada penerima adalah daripada parti pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada 1,500 penerima dalam Parlimen Teluk Intan di Arena Square di sini pada Khamis.

Program tersebut kemudiannya bersambung di Lumut membabitkan 1,200 penerima asnaf sebelum berakhir di Pulau Pangkor dengan 300 asnaf pada sebelah petang hari yang sama.

Abdul Azeez juga merangkap Ahli Parlimen Baling, Kedah berkata, RM300,000 telah diperuntukkan Yayasan Tabung Haji untuk satu parlimen yang melibatkan lima kawasan parlimen di negeri ini iaitu Kampar, Sungai Siput, Bukit Gantang, Teluk Intan dan Lumut.

Turut hadir menyampaikan sumbangan di Dewan Marina Island adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Roshidi Ibrahim.