Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran keras dan terakhir kepada syarikat-syarikat penghantaran barang supaya jangan seludup barang kawalan bersubsidi ke luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak ditangkap melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu tindakan keras akan dikenakan termasuk menarik semula permit yang dikeluarkan KPDNKK.
“Saya nak beritahu kalau mereka mengimport barangan bersubsidi tanpa mendapat kelulusan atau permit dari KPNDKK itu merupakan satu kesalahan, begitu juga dengan eksport.

“Jika mereka ini didapati bersalah melakukan perkara ini kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dan bawa mereka ke pihak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Tapak Pasar Minggu Batu Kurau, Perak pada Selasa.

Tambah beliau lagi, barang-barang kawalan seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan gas memasak tidak boleh dibawa keluar sewenang-wenangnya tanpa permit khas KPDNKK.

Justeru itu, beliau memberi amaran mana-mana syarikat yang terlibat dengan sindiket tersebut supaya berhenti berbuat demikian serta merta atau berdepan dengan tindakan.