LENGGONG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk sesiapa sahaja mengeluarkan sebarang komen mengenai punca kematian pelajar berusia 11 tahun tersebut kerana punca sebenarnya hanya akan diketahui dalam masa dua minggu lagi melalui laporan bedah siasat yang lengkap.

“Kita tidak tahu sekiranya pelajar itu mempunyai penyakit yang lain atau sebagainya, selagi kita masih lagi belum mendapat laporan lengkap bedah siasat.

“Ianya tidak adil untuk kita membuat sebarang komen, mungkin budak itu dipukul tetapi sama ada pukulan itu dan ini (kematian) mempunyai sebarang hubungan hanya boleh diketahui melalui laporan lengkap berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Lenggong yang dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Khamis.

Mohammad Thaqif Amin dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail Johor seminggu lalu selepas mengalami kesakitan kerana didakwa dipukul oleh seorang pembantu warden di asrama sekolah tahfiznya di Kota Tinggi, Johor.

Allahyarham meninggal dunia pada 2.05 petang semalam (Rabu) di hospital.