TELUK INTAN – Tidak ada mana-mana parti yang menguasai PH kerana semua parti komponen bermuafakat dalam membentuk kerajaan seperti yang didakwa segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, partinya itu merupakan rakan setia kepada PH dan saling hormat-menghormati serta bekerjasama sebagai satu pasukan bersama Bersatu, Amanah dan PKR.

“Tidak ada siapa menguasai siapa kerana kita bermuafakat. Muafakat PH sentiasa kita sanjung tinggi kerana agenda reformasi sentiasa kita dukung.

“Apa yang penting sekarang kita membangunkan negara dan kita nak memajukan ekonomi supaya rakyat dapat hidup dengan lebih selesa,” katanya ketika ditanya Sinar Harian, selepas melawat Masjid An-Naim di Taman Seri Setia, di sini, hari ini.

Kor Ming turut menasihati pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa DAP menguasai PH supaya berhenti bermain politik.

“Saya nak nasihatkan janganlah main politik setiap hari, rakyat sudah jemu, sudah letih, yang penting kita sekarang fokus untuk agenda membangunkan negara dan memastikan kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

“Kedua-dua ini iaitu kesejahteraan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan kepada DAP bersama PH di mana setiap kali kami turun ke kawasan masing-masing kami akan salurkan peruntukan membantu rakyat,” katanya.

Kor Ming turut mengatakan bahawa PH menjaga semua rakyat di negara ini sebagai satu keluarga dan menyeru semua pihak agar bersatu di bawah payung kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan negara.

“Biarlah Harimau Malaya kembali mengaum semula, jangan hari-hari politik sahaja ia tidak bawa apa-apa,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir mengakui DAP memainkan peranan penting dalam menentukan segala perkara dalam pentadbiran PH termasuk berkaitan kedudukannya sebagai Perdana Menteri – sinar harian