PETALING JAYA : Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada kaum lain supaya tidak melabelkan orang Melayu sebagai “rasis” kerana kesabaran mereka ada batasnya.

Beliau berkata, terdapat dwistandard untuk label “rasis” dan orang Melayu sering diberikan label itu walaupun mereka hanya menuntut hak sendiri.

“Melayu menerima nasib ini kerana keIslamannya. Kalau Melayu tidak menganut Islam seperti kaum lain, maka tidak dilabel rasis.

“Adakah keadaan ini disebabkan oleh penyakit Islamofobia yang sedang merebak sekarang?” soalnya.

“Hanya Melayu yang terlalu bodoh dan lemah roh Islam serta hilang jiwa bangsanya saja tidak peka, sehingga hilang jati diri di atas tanah airnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, orang Melayu ketinggalan di belakang kaum lain kerana dasar penjajah yang sengaja menempatkan mereka di kawasan pedalaman yang jauh daripada semua kemudahan dan kemajuan.

“Maka, orang Melayu dan rumpun Bumiputera lain terpinggir dan ketinggalan jauh ke belakang.

“Dalam masa yang sama, sikap Melayu Islam yang anti penjajah menolak bekerja dengan penjajah dan melawan penjajah sejak mula kedatangannya.

“Berbeza dengan kaum lain yang dibawa ke sini dan bersedia menjadi pekerja dan hambanya, sama ada menjadi pegawai atau kuli. Ini menjadikan Melayu lagi terpinggir dengan sebab pentadbiran berada di tangan penjajah.”

Katanya, walaupun Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan hak istimewa kepada orang Melayu serta Bumiputera, tetapi mereka tidak mampu mengejar kaum lain.

“Kalau Melayu rasis, maka sejak awal lagi bangsa pendatang tidak mendapat kerakyatan, hak berpolitik untuk menjadi ahli Parlimen, menteri besar atau ketua menteri, menguasai ekonomi, mengamalkan agama dengan bebas, menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan sehingga mencapai kedudukan sebagaimana yang ada ini.”