IPOH– “Hentikan api dalam sekam ini, adakah sesiapa mahu peristiwa 13 Mei berulang kembali di negara ini?,” ujar bekas anggota VAT 69, Naim Abdullah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang semakin berani untuk menyebarkan fahaman komunis dengan mengangkat Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira kemerdekaan negara.

Selain itu terdapat NGO yang cuba mengiktiraf PKM dan mahu menulis semula buku sejarah di Malaysia.

“Pada saya generasi Y sekarang bukan tidak faham dari segi sejarah, tetapi sengaja mahu mengubah topik untuk menimbulkan kemarahan, padahal mereka terpelajar.

“Takkan mereka tidak faham tentang Malaysia, perjuangan kita pada tahun 1948 darurat, kemudian konfrantasi dengan Indonesia pada tahun 1963.

“Sejarah Komunis meletak senjata pada tahun 1989, mereka letak atas perjuangan bukan ideologi, kita kena faham di situ,” ujar Naim ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Selasa.

Naim yang memegang jawatan terakhir sebagai Pegawai Pemerintah Skuadron Kereta Perisai di Kulim, Kedah sebelum bersara pada tahun 2016, meluahkan rasa kecewa terhadap isu tersebut kerana diibaratkan tidak menghormati pengorbanan pejuang terdahulu.

“Sehingga sekarang pihak pengganas tidak mengatakan bahawa mereka meletakkan senjata dan ideologi, mereka hanya meletakkan senjata sahaja.. ideologi (komunis) masih dipegang hingga sekarang.

“Inilah anasir-anasir baharu komunis yang ada dalam negara kita, cuba generasi Y sekarang tanya datuk dan nenek tentang komunis seperti di Sungai Manik dan Teluk Senangin.

“Bukan bermaksud kami mahu diagungkan sebagai pejuang, tetapi anda harus ada rasa hormat pada perjuangan kami melawan komunis, jangan libatkan hal politik tapi lihatlah pada pengorbanan anggota keselamatan dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Naim meminta agar pihak-pihak tertentu menghentikan tindakan untuk mengiktiraf PKM, yang disifatkan boleh memecah belahkan keharmonian di Malaysia.

“Jangan dibakarkan api yang tengah peram, 13 Mei mungkin akan terjadi kalau individu dalam negara ini atau parti politik yang tidak memikirkan jasa-jasa orang lama,” katanya.