Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Malaysia menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk segera menangani konflik Rohingya yang masih berlarutan, dalam usaha memulihkan imej negara itu.

Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia enggan terus memikul beban kepada impak kebanjiran pelarian Rohingya ekoran pergolakan etnik yang masih berlarutan di wilayah Rakhine, Myanmar.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Suu Kyi perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengembalikan kuasa pemerintahan.

Katanya, ia sekaligus membersihkan nama pemimpin itu yang terkesan berikutan serangan dan keganasan kepada kaum minoriti Muslim Rohingya di Rakhine.

“Kita tidak mahu negara menanggung permasalahan sosial dan politik mereka; kita tidak mahu rakyat Malaysia dibebani dengan kebanjiran ini.

“Keutamaan negara kita adalah rakyat kita dan kebajikan kepada rakyat kita.

“Bukan kita tidak ada perasaan kemanusiaan kepada pelarian-pelarian ini hadapI maut dI negara mereka, tetapi saya fikir masyarakat antarabangsa harus terus mengambil kepedulian terhadap nasib mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Hari Raya Aidiladha 1438H Parlimen Bagan Datuk di Sungai Sumun di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dalam memastikan supaya kad UNHCR tidak sewenang-wenangnya diberikan kepada pelarian itu.

Tambah beliau, masyarakat antarabangsa telah berulang kali memberi amaran kepada kerajaan Myanmar termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang terus memberi bantuan.

“Tetapi keadaan ini berulang lagi. Saya harap perkara ini ditangani dengan serius. Jangan ada double standard kerana perbezaan agama; dan jangan jadikan isu kemanusiaan ini sebagai isu agama dan politik.

“Ia harus diselesaikan dan dimuktamadkan sebab Malaysia tidak mahu menjadi receiving country kerana apabila berlaku permasalah di sana, ianya akan mengundang kebanjiran orang Rohingya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pendirian sebenar kerajaan mengenai pelarian bukannya berlandaskan kekurangan keprihatinan tetapi mengambil berat mengenai keutamaan rakyat Malaysia dan kebajikan mereka.

Sebelum ini, portal berita AFP melaporkan lebih daripada 2,000 pelarian Rohingya terdiri dari wanita dan kanak-kanak berkumpul di sempadan namun tidak dibenarkan masuk oleh kerajaan Bangladesh sekaligus menjadikan mereka gelandangan tanpa sebarang perlindungan.