KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat fenomena Ahli-ahli Parlimen UMNO keluar daripada parti itu telah mula reda.

Mohamad berkata, beliau akan berjumpa dengan semua Ahli Parlimen UMNO untuk memastikan mereka selesa dengan kepemimpinan parti ketika ini, susulan keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada memegang jawatan Presiden parti.

“Ini yang kita sedang buat. Kita mahu hentikan ‘pendarahan’ supaya tidak ada lagi gelombang keluar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Khas UMNO di Menara Dato Onn, di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, Mohamad berkata, partinya membuat keputusan untuk memberi autonomi kepada UMNO Sabah bagi menyusun kembali kepemimpinan di negeri itu susulan lima Ahli Parlimen UMNO Sabah keluar parti.-UTUSAN ONLINE