KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi membenarkan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau mencabar larangan menteri dalam negeri ke atas buku komik mengenai projek China, Inisiatif Jalur & Jalan yang mencetuskan kontroversi selepas salinannya diedarkan ke sekolah-sekolah sebagai bahan rujukan.

Peguam, J Shamesh berkata Hakim Mariana Yahaya hari ini membenarkan permohonan memohon semakan kehakiman yang difailkan anak guamnya pada penghujung November.

“Mahkamah akan mendengar permohonan substantif,” kata Shamesh kepada FMT. Beliau berkata hakim menetapkan 20 Jan untuk pengurusan kes.

Shamesh berkata Jabatan Peguam Negara juga diarah memfailkan afidavit menjawab aduan Hew.

Hew meminta mahkamah membatalkan perintah menteri pada 23 Okt bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Akta 301), yang diwartakan pada hari yang sama.

Hew juga mahu mahkamah mengisytiharkan Seksyen 7(1) akta sama tidak berperlembagaan, serta memerintahkan kerajaan memulangkan semua komik yang dirampas.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata penguatkuasa merampas lebih 2,000 komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama.

Kementerian berkata terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, dan “kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme”.

Komik Hew mengundang kritikan susulan berita melaporkan 2,500 komik dalam Bahasa Melayu diedarkan ke perpustakaan sekolah-sekolah sebagai bahan rujukan.

Hew juga disoal polis dalam siasatan ke atas komik pro-China itu.