IPOH– Amalan hibah memberi manfaat terutamanya dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan harta yang membolehkan seseorang Islam menetapkan agihan harta ketika hidup seterusnya menghindarkan daripada berlakunya perbalahan di kalangan waris selepas kematian.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, majoriti umat Islam bukan sahaja kurang memberi perhatian malah kurang pengetahuan tentang pembahagian harta pusaka.

6d37ad05-ee93-41a1-9e9e-bba1cc753916“Selain daripada hukum Faraid, hibah ialah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pembahagian harta, ada kalanya harta yang ditinggalkan beralih daripada status aset menjadi liabiliti kepada pelbagai pihak antaranya disebabkan pinjaman atau hutang yang belum diselesaikan.

“Harta berbentuk rumah seringkali terbiar usang, harta berbentuk tanah kebun menjadi terbiar, rumah usang yang ditinggalkan dan tanah kebun menjadi belukar. Ada yang menjadi tempat biawak, musang dan ular bersarang.

“Kerajaan pula tidak memperoleh sebarang hasil cukai, selagi urusan harta tidak diselesaikan, rungutan waris dan rungutan jiran tetangga, mungkin menjadi satu tanggungjawab dunia yang mengheret nama si mati, yang telah berada di alam barzakh,”titah baginda pada majlis pelancaran Gerakan Kesedaran Hibah Perak, di sini pada Khamis.

Terdahulu, ketibaan baginda diiringi Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs. Nizar Zakaria, Mufti Perak Tan Sri Dr. Harussani Zakaria serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk), Tan Sri Datuk Seri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.

Baginda bertitah, hibah merupakan salah satu cabang muamalat, ‘akad tabaruk’ antara dua pihak, iaitu, proses memindah milik sesuatu harta tanpa sebarang balasan; merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk memuliakannya dengan sesuatu tujuan.

“Harta yang dihibah, dapat dijana dengan lebih pantas berbanding harta yang ditinggalkan berbentuk pusaka. Islam menggalakkan amalan hibah, terutama kepada anggota keluarga terdekat.

“Seperti maksud yang terkandung dalam ayat 177, Surah Al-Baqarah Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada ALLAH, dan hari akhirat.
“Segala Malaikat, segala kitab, sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang yang meminta-minta…..”titah baginda.

Titah Sultan Perak lagi, usaha memberi penerangan memperkenalkan hibah hendaklah diperluaskan ke semua daerah dan jajahan hingga sampai ke mukim dan kampung secara berterusan.

“Hibah, telah beta titahkan dijadikan tema khutbah Jumaat di semua masjid di negeri Perak pada minggu hadapan, gerakan menyedarkan dan memperkenalkan ummah mengenai hibah hendaklah disambut oleh semua masjid, surau, pelbagai institusi serta badan bukan kerajaan dan pertubuhan sukarela,”titah baginda.

Pada majlis yang sama MAIPk menandatangani Memorandum Perjanjian Usahasama Strategik dengan Wasiyyah Shoppe yang bertindah sebagai pelaksana bagi semua aktiviti gerakan hibah di negeri Perak.