IPOH: Keluarga seorang peniaga hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Jalan Kledang, Taman Menglembu, sudah lebih 20 kali dirempuh kenderaan sejak tiga tahun lalu.

Wong Fook Wei, 50, berkata rumahnya sering dirempuh kenderaan yang melalui jalan terbabit dengan kejadian terbaru pada jam 1.30 pagi tadi.

Katanya, bagaimanapun kejadian itu hanya membabitkan keretanya yang diletak di hadapan rumah sebelum dilanggar kenderaan lain yang tidak dapat dipastikan jenisnya kerana pemilik kenderaan berkenaan melarikan diri.

“Sejak 2014 kawasan, rumah saya sudah lebih 20 kali dirempuh kenderaan dan daripada jumlah itu tujuh insiden agak serius, terutama pada awal Februari lalu yang mengakibatkan tembok serta pagar rumah runtuh dirempuh.

“Semua insiden yang serius saya buat laporan polis untuk tuntutan insurans pemilik kenderaan bagi baik pulih rumah yang rosak, namun kemalangan kecil tidak dilaporkan kerana pemilik kenderaan membayar pampasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Fook Wei berkata, pihaknya juga sudah membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengambil tindakan segera menangani masalah itu yang membahayakan nyawa ahli keluarganya serta penduduk lain berhampiran.

“Saya memohon pihak berkuasa membina bonggol dan memasang papan tanda bersesuaian di laluan terbabit bagi mengelak kemalangan berulang.

“Pada 6 September lalu, pihak MBI sudah memberi maklum balas dan bersetuju mempertimbangkan beberapa kaedah untuk meningkatkan ciri keselamatan di kawasan ini, namun hingga kini masih tiada tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, dengan kejadian terbaru awal pagi tadi, dia semakin bimbang keselamatan diri dan empat ahli keluarganya yang lain, termasuk ibunya yang berusia 75 tahun.

“Kami sudah menetap di sini hampir 30 tahun dan sejak beberapa tahun ini kejadian rempuhan kenderaan di kediaman kami sering berlaku.

“Ini membuatkan kami bimbangkan keselamatan keluarga jika rumah dirempuh lagi hingga mengakibatkan kecederaan atau kecelakaan.

“Sebagai langkah keselamatan saya meletakkan batu penghadang dan sebuah kereta lama di laluan yang sedikit berselekoh itu, namun penghadang berkenaan juga dirempuh kenderaan,” katanya.