IPOH: Hidupkan masjid, bersama bantu pihak sekolah berdekatan dan perbanyakkan aktiviti di dewan orang ramai.

Itu pesanan Menteri Besar, Datuk Ahmad Faizal Azumu kepada kepimpinan masyarakat di akar umbi bagi mewujudkan sebuah komuniti yang aman dan sejahtera.

Ahmad Faizal berkata, institusi masjid adalah organisasi yang amat penting dalam masyarakat kerana ia adalah pusat yang menyatukan semua umat Islam tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

“Kita mesti hidupkan masjid. Apabila semua ahli masyarakat kerap ke masjid maka kita dapat berkenal-kenalan di antara satu sama lain.

“Dengan ini kita akan mengambil tahu perkembangan jiran tetangga kita. Hasil hubungan silaturrahim yang kuat ini, kita mampu membina sebuah masyarakat yang bersatu dan saling bantu membantu,” katanya ketika berucap di majlis makan malam bersama penduduk di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rokam di sini, malam tadi.

Turut hadir adalah anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat.

Ahmad Faizal menyeru semua anggota masyarakat supaya membantu pihak sekolah di kawasan masing-masing untuk memastikan setiap anak-anak mendapat pendidikan yang baik.

Ujarnya, tugas mendidik tidak seharusnya diletakkan di bahu warga sekolah semata-mata, kerana untuk membina modal insan masa depan, ia memerlukan sokongan padu daripada ibubapa dan masyarakat sekeliling.

Beliau yang juga anak jati Kampung Sungai Rokam mahu melihat setiap dewan orang ramai dihidupkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaaat bagi memupuk perpaduan di kalangan penduduk melibatkan setiap lapisan umur.

“Saya ingat lagi sewaktu kecil dulu dewan ini menjadi pusat aktiviti anak-anak Sungai Rokam. Saya pun mula belajar di Tabika Kemas di sebelah dewan ini.

“Di sinilah pelbagai aktiviti kemasyarakatan berlangsung dan ini sekaligus mendekatkan hubungan di kalangan jiran-jiran di sini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua pihak untuk mengurangkan budaya berpolitik kepartian yang keterlaluan sehingga menjejaskan hubungan di kalangan masyarakat.

“Masa pilihan raya umum sudah berlalu, kini masanya untuk kita kembali rapatkan saf dan saling membantu untuk membina semula negara dan negeri tercinta ini.

“Kita boleh berbeza pandangan politik tetapi kita perlu meletakkan kepentingan masyarakat dan rakyat melebihi kepentingan politik kepartian,” katanya.