LEKIR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggalakkan rakyat di negeri ini mengembalikan amalan lama, menanam keperluan dapur di belakang rumah.

Menurut beliau, amalan itu terbukti dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli keperluan dapur seperti cili, daun kesum dan daun pandan.

Dr Zambry memberitahu, beliau sendiri mengusahakan pelbagai tanaman di keliling rumahnya sehingga boleh membekalkannya kepada kaum keluarga.

e83e12c9-9806-4af4-a223-4d5d0fd0179d“Sebelum suruh orang lain buat, saya dah buat, saya juga tanam buah tin,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival jualan usahawan tani dan program ‘touch point’ sempena Permukiman Menteri Besar di Parlimen Lumut di Dataran Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim, Orang Besar Jajahan Manjung, Lt Kol (B) Datuk Shaharudin Nazari, Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dan Pengarah Pertanian Perak, Noorazmi Yahya.

Dr Zambry berkata, kerajaan melalui pelbagai agensi, sentiasa melaksanakan inisiatif untuk membantu meringankan beban sara hidup rakyat.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kit jom bertani kepada 100 peserta anjuran Jabatan Pertanian, anak pokok buah-buahan seperti nangka dan durian belanda kepada 180 dan bantuan sara hidup kepada lebih 1,000 nelayan.

Di samping itu, beliau turut menyampaikan ‘mobile food kiosk’ kepada tujuh peserta di bawah program agropreneur muda.

Terdahulu Dr Zambry solat subuh berjemaah dengan lebih 1,000 pegawai dan anggota tentera di surau sementara Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Turut hadir Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

Selepas sarapan pagi bersama-sama para jemaah, Menteri Besar kemudiannya melawat SK dan SMK Pangkalan TLDM.