KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga emas menunggang motosikal melawan arus mengundang padah apabila dia cedera dalam kemalangan di Pandan Perdana, Cheras, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Phang Hon, 64, putus tiga jari pada tangan kiri, selain cedera di bahagian dahi, siku dan kaki kiri.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.30 malam.

“Seramai empat anggota bersama satu ambulans dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati mangsa terbaring di tepi laluan berkenaan sambil dibantu orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrul berkata, berdasarkan keterangan saksi, lelaki warga emas terbabit dikatakan memandu secara melawan arus di laluan berkenaan.

“Motosikal ditunggang mangsa kemudian bertembung dengan sebuah van yang mahu masuk ke susur kiri laluan terbabit.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikalnya hingga mengakibatkan tiga jari pada tangan kirinya putus, selain luka di bahagian dahi, siku dan kaki kiri,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan – berita harian