LIMBANG: Tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Buluh Balui, Batu Danau di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian disedari jam 7.30 pagi oleh seorang penduduk yang tinggal di depan rumah berkenaan sebelum menghubungi bomba untuk tindakan selanjutnya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Tawang Linggam, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 7.54 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Limbang dikejarkan ke lokasi.

Katanya, struktur rumah yang dibina separuh kayu dan simen itu musnah sepenuhnya selepas api merebak pantas kerana terdapat kebocoran gas di dapur.

“Rumah berkenaan dihuni tujuh sekeluarga berusia antara tiga hingga 40 tahun. Ketika kejadian semua penghuni tiada di rumah kerana menghantar anak ke sekolah, selain membeli barangan di pasar.

“Jiran yang tinggal di depan rumah berkenaan melihat asap tebal dari bilik tingkat atas sebelum api marak membakar. Bomba kemudian dimaklumkan untuk operasi pemadaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tawang berkata, ketika operasi pemadaman dijalankan, pasukannya mengesan berlaku kebocoran gas di kawasan dapur yang menyebabkan api marak lebih cepat.

Beliau berkata, rumah berkenaan musnah sepenuhnya dan tiada barangan berharga bersama dokumen yang dapat diselamatkan penghuninya.

“Buat sementara waktu, mangsa tinggal di rumah jiran berdekatan sebelum bantuan daripada agensi kerajaan disalurkan kepada mereka.

“Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik kebakaran,” katanya – berita harian