KUALA LUMPUR : Empat individu telah diambil keterangan berhubung penganjuran ‘Himpunan Bangkit Pertahankan Jawi Haramkan Dong Zong’ pada 1 Jan lepas.

Tanpa mendedahkan tarikh dan nama mereka yang dipanggil, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya juga akan memanggil dua lagi individu untuk diambil keterangan kerana berhimpun tanpa kebenaran.

Beliau berkata pihaknya juga memandang serius tindakan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) yang menganjurkan perhimpunan itu kerana tidak mendapat kebenaran untuk berhimpun.

“Penganjur juga tidak memberi notis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk berhimpun dan polis sedang mengambil tindakan menyiasatnya mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program keselamatan dan mencegah jenayah sempena ‘Kempen Kita’ di Perumahan Awam Seri Perak, Sentul, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 500 mahasiswa daripada universiti awam mengadakan perhimpunan itu pada tanggal tahun baharu 2020 sebagai mempertahankan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular selain menggesa pertubuhan pendidikan Cina iaitu Dong Zong diharamkan.

Perhimpunan itu juga diadakan susulan kritikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terhadap NGO itu.

Peserta perhimpunan itu berkumpul di Masjid Negara sekitar 2 petang sebelum berarak ke kompleks beli-belah Sogo, di sini. – BERNAMA